Tun M lancar skim mySalam untuk B40

PUTRAJAYA 24 JAN – Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini melancarkan Skim Perlindungan Nasional B40 (mySalam) dengan menawarkan perlindungan insurans dan takaful kesihatan secara percuma.

Dr. Mahathir berkata, skim yang menyediakan perlindungan takaful kepada golongan B40 yang menerima Bantuan Sara Hidup (BSH) itu dijangka memberi manfaat kepada 3.69 juta rakyat yang berumur 18 hingga 55 tahun.

Beliau berkata, inisiatif itu dapat membantu golongan B40 menangani kesulitan kewangan yang timbul akibat kemasukan ke wad hospital kerajaan atau ditimpa salah satu daripada 36 penyakit kritikal yang tidak diduga.

“Kita berharap mySalam dapat meningkatkan penembusan insurans dan takaful untuk golongan B40 kerana ini amat bermakna dan penting dalam usaha kita meningkat taraf dan kualiti kehidupan kumpulan ini.

“Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, Pakatan Harapan merasai keperitan yang ditanggung oleh rakyat yang hilang mata pencarian akibat sakit atau kemalangan,” katanya ketika berucap merasmikan skim mySalam di sini hari ini.

Menurut Dr. Mahathir, skim mySalam yang diperkenalkan oleh kerajaan pada hari ini merupakan satu langkah yang signifikan untuk merangka sebuah dasar pembangunan kewangan yang lebih inklusif di Malaysia.

“Skim ini juga bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan pemahaman di kalangan B40 mengenai perlindungan insurans dan takaful, ia melibatkan sumbangan permulaan yang besar iaitu sebanyak RM2 bilion daripada syarikat insurans dan takaful Great Eastern.

“Kita berharap mySalam dapat meningkatkan penembusan insurans dan takaful untuk golongan B40 kerana ini amat bermakna dan penting dalam usaha kita meningkat taraf dan kualiti kehidupan kumpulan ini,” katanya.

Sementara itu, Dr. Mahathir berharap syarikat insurans swasta yang lain dapat berganding bahu untuk memperluaskan lagi jangkauan pemilikan polisi insurans dan takaful rakyat Malaysia.

“Dalam usaha kita untuk mencapai status negara maju, pembangunan tidak harus dan tidak boleh diukur dari segi pertumbuhan ekonomi atau pembangunan infrastruktur semata-mata.

“Kualiti hidup, kuasa beli dan pengagihan pendapatan yang lebih baik adalah ukuran yang lebih bermakna bagi menilai pembangunan negara. Kerajaan akan terus berusaha untuk memastikan kemakmuran dan kekayaan negara diagihkan secara lebih saksama melalui pelaksanaan dan pendekatan pembangunan yang lebih inklusif,” katanya. – Utusan Online

error
error: MPUB.my - Portal Untuk Belia Malaysia