Universiti Malaysia Perlis

UniMAP terima pengiktirafan lima bintang QS Stars Rating

ARAU 21 DIS – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) diiktiraf antara universiti terbaik di Malaysia tahun ini setelah mendapat pengiktirafan lima bintang oleh Sistem Penilaian Quacquarelli Symonds (QS) Stars Rating.

Pengiktirafan itu dibuat oleh QS Intelligence Unit iaitu sebuah organisasi pengauditan universiti antarabangsa melalui QS World Ran­king yang berpusat di London.

Pengurus Wilayah Asia Tenggara QS Inteligence Unit, Chong E Way menyampaikan sijil pengiktirafan itu kepada Naib Canselor UniMAP Datuk Prof Dr Zul Azhar Zahid Jamal pada satu majlis di UniMAP dekat sini hari ini.

Zul Azhar berkata UniMAP telah melalui pelbagai penilaian serta menerima pengiktirafan tiga bintang buat kali pertama pada 2013 dan muncul sebagai Universiti Awam (UA) pertama di Malaysia yang menerima pengiktirafan itu.

“Pengiktirafan lima bintang ini membolehkan UniMAP dinilai oleh universiti-universiti di seluruh dunia dan membolehkan universiti kita untuk membuka ruang bagi menjalinkan kerjasama dengan rakan-rakan strategik,” katanya kepada Bernama.

Menurut Zul Azhar, UniMAP merupakan antara 50 universiti terbaik di seluruh dunia yang menyertai QS Rating Stars.

Sementara itu, Chong berkata UniMAP juga antara lapan universiti daripada 21 universiti di Malaysia yang menerima pengiktirafan lima bintang.

Penilaian terhadap UniMAP dibuat berdasarkan sistem pengajaran, pengantarabangsaan, kekuatan program pengajian, penyelidikan, perspektif kesenian dan kebudayaan, kebolehpasaran graduan serta kemudahan, inovasi dan keterangkuman.

“UniMAP telah menunjukkan kemajuan dalam pelbagai aspek sejak 2013 yang melayakkannya diberi pengiktirafan lima bintang,” katanya. – BERNAMA

error
error: MPUB.my - Portal Untuk Belia Malaysia